Wednesday, June 15, 2005

SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU

Sanggupkah Anda?

Hayatilah kisah ini. Artikel ini dipetik daripada majalah NUR, Mei 2004.

Kisah ini berlaku hampir beberapa tahun yang lalu, seorang ibu tua dibawa oleh anak lelakinya yang tinggal di bandar menziarahi ahli keluarga di sebuah kampung.

Sekembali dari tempat ziarah, si ibu kelihatan terkocoh-kocoh, pantas keluar dari kereta. Langkahnya agak tergopoh-gopoh menaiki anak tangga rumah. Fikir si anak yang masih belum sempat menarik handbrake keretanya, pasti si ibu bergegas untuk segera menunaikan solat Maghrib kerana azan telah berkumandang di surau yang berdekatan. Tapi, bila dia mula menjejaki anak tangga, "Subhanallah!" si anak terkejut melihat najis berjejeran di anak tangga dan di laman rumah. "Mak sakit perut rupanya," bisik hatinya.

Tanpa berlengah segera disingsingnya lengan baju dan kaki seluar. Najis disodok dan dibuangkan. Getah paip ditarik lalu dialirkan air menuruni anak tangga. Ibu yang sudah selesai membersihkan diri dan solat Maghrib terkocoh-kocoh sekali lagi menanggalkan telekong, mencapai baldi dan gayung dalam langkah yang terhincut-hincut cuba menuruni anak tangga. Terpana ibu di muka pintu melihat anak-anak tangga sudah dimop bersih, seperti hilang akal sejenak.


"Tak sembahyang Maghrib ke?" Tanya ibu kepada si anak dalam keadaan serba salah."Tak apalah mak, saya musafir, Maghrib tu dijamak takhir dengan Isyak nanti." Si ibu tak terkata apa. Tangan kanan masih memegang baldi. Tangan kiri pula memaut grill pintu. Matanya terus memerhatikan si anak, dalam hati penuh sebak dan keharuan, mengucap puji syukur pada Allah kerana anak yang diasuh sebesar dua tapak jari, dicucikan najisnya setiap hari, buat pertama kalinya menyucikan najis ibunya pula hari ini.

"Ya Allah! begini mulia rahmatMu ini anak yang soleh, dia mengenang jasa ya Allah! dan membalas budi, aku bersyukur padaMu...aku bersyukur padaMu ya Allah!" sempat si ibu memanjatkan doa di dalam hati. Terasa benar maruahnya dihargai, tawaduk sungguh mengecapi nikmat kasih....

Rentetan dari peristiwa itu, dapat dilihat keberkatan dalam hidup si anak kerana apa saja kerja yang dibuat terasa dipermudahkan oleh Allah. Inilah yang dikatakan keberkatan memuliakan insan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Hadis Nabi SAW bermaksud : "Hinalah umatku, hinalah umatku, di mana dalam sisa usia orang tua mereka, tidak dimanfaatkan apa-apa untuk meraih rahmat dari AllahSWT".

*************************************************************************************

* Mulianya ibu tiada tandingan. Namun dalam pada kita mngejar kemodenan dan keselesaan hidup di muka bumi ini, ingatkah kita pada wajah tua ibu kita yang telah melahirkan dan membesarkan kita hingga menjadi manusia?

* Sesungguhnya terlalu banyak hikmah dan nikmat yang kita perolehi daripada wanita yang kita panggil ibu ini.

Pop up my Cbox