Sunday, July 17, 2005

KONGSI TAZKIRAH

Alhamdulillah...sungguh ceria di pagi yang hening ini..menikmati udara segar kurniaan Ilahi..Alhamdulillah, negaraku kini berada dalam keadaan agak selesa, lantas ku kecapi nikmat itu sehingga ke saat ini. Sungguh tidak ternilai anugerahNya. Sebagai hamba, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran dan puji padaNya.

Aku seperti biasa. Seperti insan-insan lain yang masih diberi peluang meneruskan langkah selagi jantung masih berdegup menandakan nafas masih disedut dan dihembus. Sementara menanti washing machine sedang meneruskan rutinnya, aku bergerak ke meja tulisku. Aku menatap kembali isi kandungan sebuah buku yang menarik minatku, bertajuk ISLAM PILIHANKU. Buku ini mengisahkan pengucapan syahadah oleh 39 insan di Malaysia. Baru semalam aku membeli dan mula menghayati isi-isi yang terkandung di dalamnya. Pelbagai kisah menarik yang diceritakan oleh saudara-saudara baru kita, mengenai pengalaman masing-masing dalam pencarian sebuah sinar bahagia dalam hidup mereka. Sampai ke kisah yang ke-7, aku berhenti seketika. Berehat..Sambil-sambil tu, aku menghayati pula tazkirah pagi yang sedang rancak ke udara di sebuah stesen radio kegemaran aku, IKIM. Tak pasti pula aku siapa yang menyampaikan tazkirah pagi ini. Ok,tak kisahlah. Yang penting, aku nak kongsi sesuatu dengan sahabat-sahabat, tentang apa yang aku dapat daripada tazkirah tu. Kalau yang dah dengar tu, bertambah fahamlah harapnya...

Ok, mari kita berkongsi...Ustaz menceritakan tentang musibah yang berlaku dalam hidup setiap manusia..antara point yang aku dapat catch up ialah musibah terbahagi kepada tiga,
iaitu :

  • Musibah Tarbiyah - musibah ini ditimpakan kepada mereka yang terlalai daripada melakukan ibadat kepadaNya. Sebenarnya mereka-mereka yang lalai ini bukannya mereka yang ingkar, tetapi mereka yang memang patuh kepada ajaran agama, tetapi mereka terlalai seketika. Contohnya mereka terlupa atau tertinggal solat. Jadi musibah yang Allah bagi kat sini ialah Dia melalaikan hamba tadi. Jadi dengan musibah itu, si hamba tadi akan terus ingat kepada Allah apabila dia tersedar dari kelalaian tadi. Kadang-kadang dengan musibah ini, Allah mendidik hambaNya dengan kesusahan dan kesakitan.
  • Musibah Azab - musibah ini ditimpakan kepada mereka yang tidak beriman. Mereka diberi ujian dan musibah di atas kekufuran dan keingkaran mereka.
  • Musibah Bala' - musibah ini merupakan bencana ujian yang Allah timpakan kepada orang yang beriman kepadaNya. Contohnya kematian, kerugian, kecurian, kemalangan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menghapus dosa-dosa mereka dan meningkatkan martabat orang yang beriman.
Last sekali ustaz berpesan, jadilah seorang muslim yang sejati, sepertimana lebah, yang mana si lebah memakan makanan yang baik dan menghasilkan benda yang baik,iaitu madu...Janganlah jadi seperti ulat, yang mana si ulat hanya memakan dan merosakkan daun dan akhirnya menyebabkan dirinya sendiri terkorban ( tak pasti sebab apa terkorban,tak jelas, mungkin sebab daun tu nanti dah habis dimakannya, kemudian di dah tak ada makanan lagi! :-) )

Okey, itu sahaja perkongsian yang dapat kita share sama-sama. Harapnya dapat diambil sedikit iktibar daripada point-point yang sempat aku dengar tadi. Jumpa lagi.

Pop up my Cbox