Monday, August 01, 2005

MENCARI CAHAYA

Dia mendongak ke atas. Gelap. Di hadapannya terlihat kerlipan cahaya yang terang. Dia segera menghayun langkah ke arah kerlipan cahaya itu. Hatinya melonjak-lonjak mahu ke sana. Laju langkahnya. Dia menoleh ke kanan. Tiada apa yang menarik. Dia menoleh ke kiri. Tiba-tiba dia terpaku, langkah kakinya terhenti. Hatinya tiba-tiba terpesona. Dia meneruskan langkah, namun langkahnya kini telah berubah arah. Dia tidak sedar, dia kini sedang menuju ke denai yang mungkin hanya sementara nikmatnya buat dirinya.

Dia tercungap-cungap. Lelah. Nafasnya terasa seperti tersekat-sekat. Pandangan matanya berpinar-pinar. Dia memandang sekeliling. Kosong. Sunyi. "Di mana aku berada? Apakah nama tempat ini?" Mindanya bungkam, persoalannya tiada terjawab. Senyap. Pandangannya kembali mengarah ke hadapan. Suasana kelam. Dia menoleh ke kanan, kemudian ke kiri. Semuanya sama. Suasana sunyi, sepi dan kelam tanpa cahaya. Dia mencari manusia-manusia lain. Mereka tiada. Dia sendirian, tiada sesiapa di situ.

Dia mencari-cari sesuatu. "Di manakah cahaya terang yang ku lihat sebentar tadi?" Hatinya pula mengungkap persoalan. "Aku mahu ke sana..." Dia masih tidak berputus asa. Langkah kakinya kini dihayun pantas. Dia berlari-lari anak. Tiada arah tuju. Tiba-tiba.."Allahu Akbar! Aduh..." Kakinya tersadung pada batu besar di lorong itu. Darah mengalir. Terasa sakit. Pedih. "Ah.." Dia mengeluh kesakitan. Luka itu dibiarkan. Dia berusaha bangkit kembali. Matanya masih mencari sesuatu.

Tiba-tiba..sejalur cahaya muncul. Dia ghairah. Hatinya girang berbaur harapan. Ulas bibirnya hampir menguntumkan senyuman. Sepantas kilat kakinya melangkah, mengejar cahaya yang muncul di sana. Nasibnya tidak baik. Dia terjatuh buat kali kedua. Cahaya itu dilihatnya semakin jauh. Sinarnya semakin malap. Semalap hatinya. Sehambar jiwanya yang kian kosong. Tawar...Hatinya tawar tanpa seri. Hatinya telah kotor ternoda dek bayangan nafsu dan bisikan manis syaitan durjana.

Dia tersentak. Dia bangun lagi. Dia terus mencari. Mencari sebuah sinar harapan. Harapan yang hidup. Hidup buat dirinya. Dia harus cekal, dia terus berjuang. Semangatnya tidak pernah pudar. Dia terus mencari.

"Sampai bila? Sampai bila aku harus mencari? Mengapa begitu sukar?" Hatinya mula goyah. Perasaannya mula dihantui persoalan yang dibayangi bisikan syaitan! Dia merintih. Air matanya mula bergenang memenuhi kelopak mata. Hatinya sungguh sayu.

Suasana sunyi tiba-tiba dipecahkan oleh gema suara....Dia terkesima. Matanya memerhati sekeliling.

"Wahai anakku,
Sedarlah...
Perjalananmu masih lagi jauh
Kau harus tabah
Perjalanan ini...
Tidak semudah yang kau sangkakan
Tempuhilah segala ujian
Harungilah segala cabaran yang mendatang

Jangan sekali-kali mendustai kebenaran
Usah dituruti kata nafsu
Tebuslah segala kejahilanmu
yang terlanjur sudah
Sehingga tiba saat itu
Saat yang dinanti olehmu anak...
Waktu itu, rasailah kemanisan perjuanganmu selama ini...
Teruskan langkahmu..
Maralah ke hadapan....
Ayuh...Ayuh..."

Dilihatnya seorang tua berjubah putih melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Suasana sunyi seketika. Orang tua itu lenyap dari pandangan. Dia buntu, terpaku...Kata-kata yang didengarinya tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinga.

Dia tersedar dari lena. Matanya terasa begitu berat untuk dibuka. Matanya basah bergenang air mata. Hairan. Nafasnya tersekat-sekat. Seolah-olah teresak-esak menahan tangisan. Airmatanya masih mengalir, pipinya masih basah. "Astaghfirullahal adziim..aku bermimpi rupa-rupanya.." Dia menekupkan kedua belah tapak tangan ke muka. Fikirannya masih berputar dan sedang mengingati apa yang dialaminya di dalam mimpinya sebentar tadi. Dia dapat merasakan seolah-olah dia benar-benar berada di sana.


*****************************************************************************************

Dia memerhatikan sekeliling. Gelap. Dia tidak mahu menyambung tidurnya, matanya tidak mahu lelap lagi. Dia bingkas bangun, membersihkan diri. Dia berwuduk. Tikar sejadah dihampar. Dia berdiri dalam kegelapan malam. Dia seorang diri ketika itu. Buat pertama kalinya dia melafazkan kalimah takbir di sepertiga malam setelah sekian lama dirinya hanyut dalam khayalan dunia. Dia menangis teresak-esak. Dia malu. Dia takut. Dia menaruh harapan agar kelapaannya selama ini tidak akan berulang lagi. Kesilapannya selama ini dipohon agar diampunkan Tuhan. Selama ini dia menzalimi dirinya sendiri. Dia leka!

Kini dia sedang mendekati PenciptaNya. Pencipta yang sering dilupainya. Pencipta yang tidak jemu memberinya peluang. Pencipta yang Maha Agung. Dia sedih, telah lama dia mempersiakan peluang yang telah diberi. Dia bermunajat kepada Ilahi..."Ya Allah, Ya Tuhanku, ampunilah segala dosa-dosaku. Aku kini datang padaMu. Sudikah Engkau menerima taubat dan mengampuni hambaMu yang hina ini? Aku alpa. Solatku selama ini tidak menyentuh kalbuku, solatku selama ini tidak mampu menjaga diriku. Aku lemah! Kitab sucimu jarang sekali ku baca, jauh sekali untuk ku hayati isinya. Nikmat masa dan kesihatan yang kau anugerahkan kepadaku tidak pernah sekali aku syukuri. Aku kabur dalam menilai segala nikmatMu ya Tuhanku...Ya Allah, jangan Kau bebankan aku dengan beban yang berat. Pimpinlah daku agar tidak tersasar lagi haluanku, agar destinasi ku tuju akan tiba akhirnya nanti." Air matanya begitu murah nilainya di malam yang hening itu. Jauh di sudut hatinya berharap agar air mata yang mengalir di malam itu mampu menghalang kulitnya daripada bakaran api neraka yang marak kelak. Dia benar-benar insaf, dia ingin bertaubat dari segala dosa.

Dia kini sedar, Allah telah membuka jalan baginya, Dia memberi peluang buat dirinya. Dia sungguh bertuah. Mimpinya itu sebagai petanda buat dirinya. Hatinya benar-benar terkesan dengan mimpi itu. Hatinya terus bertekad.." Akan ku cari cahaya itu, sehingga ke titisan air mataku yang terakhir, sehingga luluh hatiku ini menagih kasih dariNya..Aku takkan mengalah, selagi belum tiba ke destinasi cintaku. Akan ku redah segala pancaroba, sehingga ku ketemu cahaya yang ku cari.....".

Pop up my Cbox