Wednesday, July 27, 2005

WARKAH BUAT ADIK...SAMBUNGAN 1

Mata pena meneruskan rentak tarinya. Dia mesti yakinkan adik...Adik mesti tahu yang adik sebenarnya boleh. Dia tidak mahu melihat adik kecundang dalam kehidupan, jauh sekali tertewas dengan dugaan hidup yang sentiasa menguji keimanan. Dia tidak akan biarkan adik terus rebah di saat tergelincir, dia mahu melihat adik terus bangun dengan gagah walau jatuh tersadung dek selirat akar kehidupan!

"Adik...
Ingatlah, adik jangan sekali-kali menyakiti hati mak dan ayah. Mereka ibarat bahtera yang mengemudi hidup kita, yang sudah pastinya tidak terlepas dari gelombang ombak ganas di lautan. Kadang-kadang bahtera yang sedang kita naiki itu tiba-tiba bergoyang, kita hampir-hampir tercampak ke dada laut. Waktu itu along panik, adik terpinga-pinga, ucu menangis ..Mujurlah mak sempat memaut lengan adik dan ayah berjaya menarik along dan ucu daripada terkapai-kapai dalam kekalutan di dalam bahtera usang yang hampir tenggelam di tengah lautan itu. Waktu itu, tiada siapa yang tahu, hanya mak dan ayah sahaja yang mengerti. Along juga sedang mencuba untuk memahami situasi pada waktu itu, tetapi along tidak mampu mengungkap rasa sepertimana yang dirasai oleh mak dan ayah. Along masih tidak mengerti, along hanya berkata di dalam hati, mengapa mesti kita terpaksa lalui semua ini?

Along lihat wajah ayah yang sugul. Mak menenangkan ayah. Along hanya menjadi seorang pemerhati yang tidak pernah meninggalkan satu babak pun dalam 'sandiwara' realiti itu.
Waktu itu, tiada sesiapa pun yang datang membantu mak dan ayah. Along seolah-olah dapat melihat penderitaan mak dan ayah. Kasihan mereka...tapi along tak mampu berkata apa-apa. Along hanya mampu melihat wajah ayah yang kebimbangan. Wajah mak... sudah pastinya wajah mak sangat tenang walau digugat gelombang sebesar lautan..Di kala itu, barulah along merasa tenang.. Kini baru along tahu...Along fikir, semua ini adalah dugaan dalam kehidupan, yang menguji kesabaran dan keimanan kita semua adik...

Adik...
Lihatlah, betapa besarnya pengorbanan mak dan ayah kepada kita semua. Mereka sudah banyak mencurahkan tenaga dan segala pengorbanan buat kita. Adik jangan sekali-kali menyakiti mereka ya...Along sangat sayangkan mak dan ayah.. Kita sungguh bertuah kerana masih mempunyai mak dan ayah..Adik tidak pernah terfikirkah tentang itu? Bayangkanlah bagaimana nasib kawan-kawan kita yang telah kehilangan kedua ibu dan bapa mereka? Mesti mereka sedih kan adik? Adik mesti jaga hati mak dan ayah sebaik mungkin. Berkorbanlah untuk mereka selagi mereka masih ada. Jangan pula adik menyesal di kemudian hari. Sesal kemudian tidak berguna lagi dik...Jadi, gunalah peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk adik berbakti kepada mereka. Sentiasalah doakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat.

Bersambung.....

Pop up my Cbox