Monday, December 19, 2005

GURUKU, PELITA HIDUPKU


“Bismillaahirrahmaanirrahiim….Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamiin…….” Aku meneruskan bacaan seperti biasa. Sudah menjadi rutin bagi aku, memulakan bacaan kitab suci Al-Quran dengan ummul kitab, Al-Fatihah. Memang aku telah diasuh begitu oleh guru mengajiku. Aku tekun meneliti bait-bait yang bakal dibaca setiap kali aku menatap Al-Quran. Setiap kalimah yang ku baca ditutur dengan tertib, namun sesekali aku terhenti, dahiku berkerut, mataku memerhati sambil mengeja-eja kalimah yang tidak dapat kubaca dengan lancar.

Sesekali aku memandang ke arah rakan-rakanku yang lain yang sedang turut mengaji. Suasana agak bising. Ada yang sedang berborak-borak sesama sendiri, ada juga yang sedang tersengguk-sengguk. Mataku kemudiannya melihat guru mengajiku yang sedang mengajar muridnya mengaji. Di dalam hatiku pula bertanya, ‘Hmm..bila nak sampai giliran aku pula ni…’ Mataku silih berganti, menatap Al-Quran dan sesekali memerhati guru mengaji, menanti isyarat giliranku..Seketika kemudian, guru mengaji memandang ke arahku, sambil menganggukkan kepala. Fahamlah aku, itu tandanya giliranku sudah tiba..Aku tersenyum, bingkas bangun membawa rahar dan Al-Quran. Seronok rasanya, aku memang tidak sabar-sabar menanti saat giliranku tiba.

Seperti biasa, aku mengulang kembali bacaan yang telah diajar oleh Ustaz Kassim semalam. Aku telah mengulang banyak kali sementara menunggu giliranku tadi. Harapanku kali ini, aku mahu cepat belajar surah baru, memang aku tidak sabar-sabar lagi. Kalimah yang ku baca diteliti dan diperhatikan Ustaz Kassim. Sesekali bacaanku tersekat, lalu aku mendongak memandang Ustaz Kassim, minta tunjuk ajar, minta dibimbing oleh guru mengaji yang ku sayangi itu. Ustaz Kassim tersenyum, seraya berkata, ‘ Bacaan Ita dah betul tu, cuma harakatnya boleh dibaca 4 atau 6 harakat. Ini namanya Mad Aridh Lissukun. Faham ?’ Aku mengangguk. Aku mengulang kembali bacaan mengikut tunjuk ajar guruku. Ustaz Kassim sudah masak dengan anak muridnya yang satu ini. Dia memang seorang yang cepat belajar. Tetapi, jika ada sesuatu yang tidak difahaminya, dia agak malu untuk minta tunjuk ajar dan bertanya. Namun, Ustaz Kassim peka terhadap kebolehan dan masalah yang dihadapi oleh anak buahnya, dan dia segera memberi tunjuk ajar. Nasib baik Ustaz Kassim faham, aku ini memang seorang yang pemalu. Tapi, sepatutnya aku tidak boleh malu kalau nak belajar dan cepat pandai.

Setiap kali selesai belajar mengaji, Ustaz Kassim akan membimbing anak-anak muridnya menyebut 13 sifat wajib bagi Allah. Jika masih tidak lancar, dia akan membimbing sehinggalah anak-anak muridnya dapat menyebutnya sendiri satu-persatu. Selesai mengaji, aku segera pulang ke rumah. Hatiku ceria dan gembira setiap kali pulang dari mengaji. Aku gembira kerana dapat belajar surah baru dan hukum-hukum tajwid yang baru dipelajari. Yang paling menggembirakan aku ialah aku dapat khabarkan kepada emak dan ayah yang aku dapat belajar surah baru setiap hari! Emak dan ayah pasti tersenyum bangga…

Suatu hari, ayahku pulang dari kerja. Ayahku baru sahaja membelikan sehelai selendang baru berwarna pink, aku sungguh gembira. Selendang itu cantik, aku suka mengenakannya setiap kali pergi mengaji Al-Quran.

*************************************************************************************

Suatu petang, aku duduk termenung. Aku sedih. Aku mendapat tahu bahawa keluargaku akan berpindah dari tidak lama lagi. Ayah telah membuat keputusan untuk berpindah. Aku tidak boleh buat apa-apa. Aku kena ikut cakap ayah. Aku sedih sebab aku akan berpisah dengan kawan-kawanku di sini. Yang menyedihkanku lagi ialah aku sudah tidak dapat lagi belajar mengaji dengan Ustaz Kassim. Sudah hampir 3 tahun aku mengaji Al-Quran dengan Ustaz Kassim. Ustaz Kassim sudah ku anggap seperti ayahku sendiri, begitu juga dengan Mak Zainab, isteri Ustaz Kassim, sudah ku anggap seperti ibuku sendiri. Sebelum berpindah, keluarga aku sempat berjumpa Ustaz Kassim. Masih terngiang-ngiang di telingaku pesanan Ustaz Kassim, ‘Sampai di tempat baru nanti, jangan lupa teruskan mengaji Al-Quran ya nak, mengaji rajin-rajin. Jangan tinggal solat 5 waktu.’ Aku mengangguk lemah, aku sedih. Namun, dalam hatiku terus berazam, aku akan terus mengaji sampai khatam dan pandai membaca Al-Quran sendiri.

Akhirnya aku tiba di tempat baru. Waktu itu aku baru naik darjah 4. Di sana aku menyesuaikan diri dengan suasana baru. Aku berjumpa dengan ramai teman baru dan bersekolah di sekolah baru. Begitu juga tempat mengaji Al-Quran. Aku diajar oleh guru mengaji yang baru. Aku agak takut berhadapan dengan guru baruku itu. Hatiku berkata ‘Nampak macam garang je guru mengaji ni...takutlah, nanti kalau tersilap, kena marah..’ Aku terus mengaji seperti biasa, dan lama-kelamaan aku sudah biasa dengan suasana dan tempat baruku itu. Guru mengajiku yang baru memang agak garang, tapi hatinya baik. Dia sayangkan semua anak-anak muridnya. Namanya Atuk Hussin. Walaupun Atuk Hussin garang, tapi aku tidak pernah dimarahinya. Aku selalu merasa takut bila mengaji di hadapan Atuk Hussin. Tapi kadang-kadang terasa kelakar. Nak tahu kenapa ? Sebabnya, semasa tengah mengaji, Atuk Hussin boleh terpejam mata. Dia mengantuk dan penat sangat barangkali. Kesian Atuk Hussin. Aku tahu dia penat . Di samping mengajar mengaji, dia juga berkebun, dia sentiasa mengayuh basikal tuanya ke mana-mana sahaja dia pergi.

Semasa aku mengaji, aku membaca manakala Atuk Hussin mendengar dan hanya bersuara untuk membetulkan bacaan yang salah sahaja. Kadang-kadang bila aku terdiam dan minta dibetulkan, aku akan mendongak memandang ke arah Atuk Hussin dan Atuk Hussin akan segera membimbing. Pernah sekali, apabila aku terdiam, minta dibetulkan bacaan, tetapi Atuk Hussin pun diam sama. Tengok-tengok, Atuk Hussin dah terpejam matanya. Apa lagi, aku ulang balik bacaan yang sebelumnya dengan suara yang agak tinggi sedikit supaya Atuk tersedar semula. Lepas itu, baru Atuk Hussin tersedar dan menyambung kembali. Sungguh lucu bila mengingat kembali waktu itu. Sekarang, aku sudah tidak tahu apa perkembangan Atuk Hussin. Sudah begitu lama aku tidak berjumpa dengannya. Maklumlah, aku berpindah lagi selepas itu. Apa pun, aku tetap berterima kasih dan menghargai jasa Atuk Hussin. Aku mula khatam Al-Quran buat pertama kalinya semasa belajar mengaji dengan Atuk Hussin. Terima kasih Atuk Hussin...(Dalam diam aku terkenangkan Ustaz Kassim, pesanannya masih bermain di gegendang telingaku).

Di tempat baru yang seterusnya, pertama kali aku mengaji Al-Quran dengan guru mengaji perempuan. Namanya Nenek Mah. Nenek Mah sangat baik, aku sangat sayangkannya. Semasa mengaji al-Quran dengan Nenek Mah, aku sempat khatam sekali lagi. Alhamdulillah..Terima kasih Nenek Mah...Kini Nenek Mah sudah semakin tua, tapi dia masih sihat dan pendengarannya pun masih elok . Kebanyakan orang yang seusia Nenek Mah yang aku jumpa, mereka sudah tidak dapat mendengar dengan jelas. Syukur Alhamdulillah. Setiap kali aku balik kampung, aku mesti jumpa dia..Sampai sekarang pun dia masih ingat aku walaupun dia sudah berusia. Alhamdulillah..

Kini aku sudah pun bekerja di ibu kota. Jarang-jarang berjumpa Nenek Mah yang tinggal tidak jauh dari rumahku di kampung kini. Bila jumpa pun, sewaktu aku balik kampung semasa hari raya. Aku teringat Atuk Hussin, rasa ingin berjumpa bertanya khabar...tapi aku tidak tahu di mana dia dan bagaimana keadaannya sekarang.. Tentang Ustaz Kassim pula, aku mendapat berita tentang kematiannya semasa balik kampung lebih kurang 3 tahun lepas kalau tak silap aku. Sedih rasanya. Tapi, itu lumrah, setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepadaNya. Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Al-Fatihah...Semoga arwah Ustaz Kassim ditempatkan bersama golongan yang beriman dan mendapat rahmat Illahi.

Sekian, ceritaku untuk dikongsi bersama-sama.. Moralnya, hargailah jasa guru-guru kita. Mereka sangat banyak menabur jasa kepada kita. Bagi aku, tanpa guru-guruku yang aku sebutkan di atas, mana mungkin aku kenal huruf Alif, Ba, Ta…dan sehinggalah lancar lidahku membaca Al-Quran…Terima kasih guru-guruku. Maafkanlah segala kerenahku dan halalkan segala ilmu yang kau curahkan padaku.

Akhir sekali, sedikit perkara yang buat aku agak terkilan ialah, kebanyakan daripada kita hanya mengingati dan meraikan guru-guru yang mengajar kita di sekolah sahaja apabila tibanya hari guru. Kita langsung lupa pada guru yang mengajar kita mengenali huruf Alif, Ba, Ta..Sebaliknya kita lebih menghargai jasa guru yang mengajar kita apa itu ABC…Tidak pernah terlintas langsung untuk mengingati mereka, jauh sekali memberi hadiah buat mereka…Setidak-tidaknya, abadikanlah jasa mereka di dalam ingatanmu, dan ziarahlah mereka andai punya kesempatan..Bayangkanlah wajah mereka semasa menghayati Al-Quran, tapi jangan pula abaikan maksud atau tafsirannya pula ya...Fikir-fikirkanlah…


‘Jika kasih sayang itu lahirnya dari iman, ianya akan kekal. Sebaliknya, jika ia datang kerana keduniaan, pasti ia tidak akan kekal…’

Pop up my Cbox